Rabu, 11 Ogos 2010

Adat Perkahwinan Masyarakat Cina


Dalam masyarakat Cina, upacara perkahwinan dimulakan dengan acara bersanding dan selepas itu pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing untuk mendapat restu. Upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan oleh kaum Cina ketika upacara perkahwinan. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Para tetamu yang datang akan membawa "angpau" sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.

Disediakan oleh Tan Wen Pei (206446)

Adat Perkahwinan Masyarakat India Muslim


Upacara perkahwinan India Muslim dimulakan dengan rumah pengantin lelaki terlebih dahulu dan pengantin perempuan hanya memulakan majlis mehndi (berinai) sejurus menerima kedatangan rombongan pengantin lelaki ke rumah mereka. Ketika majlis berinai kedua-dua pengantin disandingkan seorang diri di rumah masing-masing sebelum upacara merenjis dilangsungkan iaitu meletakkan secubit inai di telapak tangan pengantin yang dialas dengan sekeping daun sirih dan kemudian disuapkan sesudu gula oleh seorang demi seorang tetamu. Setelah selesai majlis akad nikah, akan diadakan upacara membatalkan air sembahyang bermula dengan mengalungkan seutas rantai yang dinamakan ‘karsemani’ dan dikalungkan oleh ibu pengantin perempuan itu sendiri. Selepas itu barulah pengantin perempuan mencium tangan suaminya untuk upacara membatalkan air sembahyang. Selesai pernikahan di masjid, kedua-dua mempelai diiringi pulang ke rumah pengantin perempuan untuk majlis persandingan kecil buat kaum keluarga terdekat sebelum majlis persandingan utama di dewan oleh kedua-dua pihak mempelai.

Disediakan oleh Jaslina Bt Mohd Kasim (206515)

Adat Perkahwinan Masyarakat Bidayuh


Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota dan menikmati hak sebagai anggota biik atau ramin itu. Masyarakat Bidayuh mengamalkan monogami sahaja.Oleh sebab larangan yang kuat terhadap inses, perkahwinan luar daripada keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat tersebut. Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada kemampuan ekonomi keluarga pengantin. Antara cara melangsungkan perkahwinan adalah melalui amalan 'nyagam',iaitu apabila bakal suami dihantar bersama-sama segala tikar bantalnya ke kediaman bakal isteri setelah mendapat persetujuan daripada pihak perempuan. Perkahwinan yang sempurna ialah perkahwinan yang melibatkan pengetahuan, peranan dan perancangan oleh ibu bapa kedua-dua belah pihak. Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang perantaraan atau dikenal sebagai picara di kalangan masyarakat Selako untuk mewakili pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari dan masa yang sesuai akan ditetapkan.

Disediakan oleh Sim Ying Qiu (206389)

Adat Perkahwinan Masyarakat Kadazan


Dalam adat perkahwinan kaum Kadazan,satu upacara khas dibuat. Pasangan pengantin tersebut dikehendaki makan di dalam pinggan dan mangkuk yang sama. Upacara ini dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak. Ibu bapa pengantin lelaki tidak boleh sama sekali hadir di rumah pengantin perempuan sebelum pasangan itu sah bersatu. Perkara yang paling penting dalam upacara perkahwinan ialah miohon pinisi iaitu upacara menukar gumpalan nasi. Untuk memulakan upacara ini, pengantin lelaki dan perempuan duduk berhadapan di tengah-tengah bulatan gadis-gadis yang berpakaian tradisional berwarna hitam. Di hadapan mereka terletak seperiuk nasi dan kedua-dua pengantin akan menggenggam nasi dan periuk tersebut untuk dijadikan gumpalan sebesar telur ayam. Kemudian kedua-duanya akan bertukar-tukar gumpalan nasi itu, lalu dimakan. Upacara miohon pinisi merupakan nazar perkahwinan menurut cara tradisional.

Disediakan oleh Koh Huey Ching (206305)