Khamis, 12 Ogos 2010

Mukadimmah Pembuka Bicara

Petikan kata daripada Seniman Veteran Negara, Senator Tan Sri Jins Shamsudin :
"Tradisi perkahwinan pelbagai etnik di Malaysia perlu dikekalkan bagi menyemarakkan perpaduan kaum di samping menarik lebih ramai pelancong asing." Senario ini secara langsung membuktikan bahawa budaya perkahwinan pelbagai kaum di negara ini mampu menjadi simbolik 1 Malaysia di samping mendorong kepada peningkatan kemasukan para pelancong asing dalam menjadikan negara kita sebagai destinasi pelancongan utama. Hal ini seterusnya bakal memberikan impak yang positif terhadap negara khususnya dalam bidang ekonomi dan sosial. Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia bukan sahaja terdiri daripada kaum Melayu, Cina, dan India, bahkan juga meliputi kaum yang lain yang terdapat di Sabah dan Sarawak serta lain-lain. Oleh yang demikian, masyarakat di negara ini seharusnya berbangga dengan keunikan tradisi perkahwinan yang wujud di Malaysia ini.

Adat Perkahwinan Masyarakat Melayu


Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari bersanding bagi masyarakat Melayu. Pada hari persandingan, pengantin lelaki diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang disediakan. Kebiasaannya, persembahan pencak silat akan diadakan dan selepas itu, pengantin akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding dan adat menepung tawar. Kemudian, upacara makan beradab oleh pasangan pengantin dijalankan. Setelah majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Disediakan oleh Nurhanim binti Mohd Haji (206327)

Adat Perkahwinan Masyarakat India


Majlis perkahwinan kaum India dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah.Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil. Pedanda akan berdoa supaya pengantin hidup bahagia dan seterusnya menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin. Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa, memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.

Disediakan oleh Heng Mang Chia (206480)

Rabu, 11 Ogos 2010

Adat Perkahwinan Masyarakat Cina


Dalam masyarakat Cina, upacara perkahwinan dimulakan dengan acara bersanding dan selepas itu pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing untuk mendapat restu. Upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan oleh kaum Cina ketika upacara perkahwinan. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Para tetamu yang datang akan membawa "angpau" sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.

Disediakan oleh Tan Wen Pei (206446)

Adat Perkahwinan Masyarakat India Muslim


Upacara perkahwinan India Muslim dimulakan dengan rumah pengantin lelaki terlebih dahulu dan pengantin perempuan hanya memulakan majlis mehndi (berinai) sejurus menerima kedatangan rombongan pengantin lelaki ke rumah mereka. Ketika majlis berinai kedua-dua pengantin disandingkan seorang diri di rumah masing-masing sebelum upacara merenjis dilangsungkan iaitu meletakkan secubit inai di telapak tangan pengantin yang dialas dengan sekeping daun sirih dan kemudian disuapkan sesudu gula oleh seorang demi seorang tetamu. Setelah selesai majlis akad nikah, akan diadakan upacara membatalkan air sembahyang bermula dengan mengalungkan seutas rantai yang dinamakan ‘karsemani’ dan dikalungkan oleh ibu pengantin perempuan itu sendiri. Selepas itu barulah pengantin perempuan mencium tangan suaminya untuk upacara membatalkan air sembahyang. Selesai pernikahan di masjid, kedua-dua mempelai diiringi pulang ke rumah pengantin perempuan untuk majlis persandingan kecil buat kaum keluarga terdekat sebelum majlis persandingan utama di dewan oleh kedua-dua pihak mempelai.

Disediakan oleh Jaslina Bt Mohd Kasim (206515)

Adat Perkahwinan Masyarakat Bidayuh


Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota dan menikmati hak sebagai anggota biik atau ramin itu. Masyarakat Bidayuh mengamalkan monogami sahaja.Oleh sebab larangan yang kuat terhadap inses, perkahwinan luar daripada keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat tersebut. Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada kemampuan ekonomi keluarga pengantin. Antara cara melangsungkan perkahwinan adalah melalui amalan 'nyagam',iaitu apabila bakal suami dihantar bersama-sama segala tikar bantalnya ke kediaman bakal isteri setelah mendapat persetujuan daripada pihak perempuan. Perkahwinan yang sempurna ialah perkahwinan yang melibatkan pengetahuan, peranan dan perancangan oleh ibu bapa kedua-dua belah pihak. Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang perantaraan atau dikenal sebagai picara di kalangan masyarakat Selako untuk mewakili pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari dan masa yang sesuai akan ditetapkan.

Disediakan oleh Sim Ying Qiu (206389)